Mukhriz Mahathir.

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kini mendapat perhatian ramai apabila mula dihubungi oleh beberapa individu yang menawarkan diri untuk menjadi calon parti itu pada pilihan raya.

Perkara itu diakui oleh Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bekas Menteri Besar Kedah dua kali itu berkata, individu yang menghubungi ada yang dikenali beliau dan sebaliknya.

“Syarat pertama dalam Pejuang ini kena ikhlas pertama dan jangan simpan dalam sanubari cita-cita tinggi. Sejak diluluskan secara rasmi, sudah ada panggilan telefon dari individu yang kenal dan tidak kenal yang tawar diri jadi calon.

“Saya cakap, kami yang ada ini pun belum tentu lagi jadi calon. Syarat kedua pula kena sanggup berjuang dan mewakili masyarakat serta perlu banyak berkorban terutamanya ketika lockdown ini.

“Syarat ketiga adalah bersatu hati walaupun ada perbezaan pendapat kerana kita terdiri daripada latar belakang, kita kena cari titik pertemuan.

“Syarat keempat kita kena ada strategi dan ini kita serahkan kepada ayahanda Tun (Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menzahirkan kesyukuran dan bacaan Yassin sempena kelulusan pendaftaran Pejuang secara maya di sini malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya.

Pada 8 Julai, Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskan permohonan Pejuang sebagai satu parti politik yang sah.

Kelulusan kepada parti tersebut dibuat pada hari terakhir selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan Hamzah membuat keputusan berhubung rayuan Pejuang untuk mendaftar parti itu dalam tempoh 14 hari.

Mengulas lanjut, Mukhriz menegaskan, Pejuang kini berada di landasan yang benar kerana berani untuk yakin bergerak dengan bermotivasi berdasarkan pengalaman lampau untuk mencapai kejayaan.

Namun beliau sedar parti itu perlu berdepan cabaran besar dan liku-liku hidupan pada masa akan datang.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah dalam majlis sama turut mengumumkan keahlian rasmi parti itu sehingga semalam adalah 3,175 orang selepas ditubuhkan secara sah pada minggu lalu. – MalaysiaGazette