KWAN Wang Amanah Negara National Trust Fund Finance Minister, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz at a news conference at the Ministry of Finance (MOF), Putrajaya. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 26 APRIL 2021.
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Peruntukan tambahan Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM500 juta bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang diumumkan melalui Pakej PEMERKASA+, akan dibayar mulai hari ini secara berperingkat.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata,  pembayaran ini akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan di dalam sistem GKP.

Menurut beliau, sebanyak RM6.08 bilion peruntukan telah dan akan disalurkan kepada hampir 1 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) sejak Covid-19 melanda negara tahun lalu.

Kerajaan telah memperuntukan RM1.5 bilion atau RM1,500 kepada setiap PKS mikro yang layak pada tahun ini.

Daripada jumlah ini, RM1 bilion atau RM1,000 bagi setiap PKS mikro telahpun dikreditkan ke dalam akaun penerima pada pertengahan Jun 2021.

Di bawah Pakej PEMULIH yang diumumkan pada 28 Jun lalu, bayaran tambahan GKP 4.0 akan disalurkan kepada penerima GKP sedia dan penerima baharu pada bulan September 2021 dan November 2021, masing-masing sebanyak RM500.

Bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, tempoh pendaftaran GKP 4.0 akan dibuka mulai 15 hingga 31 Julai 2021, tambah beliau.

Tengku Zafrul berharap bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi pada ketika ini.

Selain dari GKP, banyak lagi inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh PKS mikro sepenuhnya sebagai persediaan untuk perancangan jangka panjang ke arah pemulihan perniagaan masing-masing. Ini termasuklah dana pinjaman mudah PKS mikro yang keseluruhannya berjumlah RM2.9 bilion melalui Bank Simpanan Nasional, Agrobank, MARA, SME Corp, YAPEIM dan TEKUN.

Katanya, peruntukan dana pinjaman mudah bagi PKS dan PKS mikro juga tersedia di bawah Bank Negara Malaysia berjumlah RM8.6 bilion.

Jumlah ini termasuk dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Pakej PEMERKASA+ dan RM2 bilion lagi menerusi Pakej PEMULIH.

Maklumat lanjut mengenai dana-dana ini serta bantuan-bantuan kerajaan yang lain boleh didapati di https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/.

Tambahan GKP 4.0, ketersediaan dana-dana pinjaman mudah dan bantuan-bantuan lain bertujuan untuk menampung keperluan pembiayaan PKS dan PKS mikro bagi menyokong perkembangan masing-masing selaras dengan pemulihan ekonomi yang digariskan melalui Pelan Pemulihan Negara, membuktikan kesungguhan dan usaha berterusan kerajaan dalam membantu perniagaan untuk kekal bertahan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast