Ilmu berperanan dalam pembentukan daya saing untuk individu menjadi ummah berkualiti Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu memberi perhatian kepada isu capaian internet yang dihadapi oleh pelajar di negara ini kerana ia masalah utama dalam sistem pembelajaran dalam talian.

Kedua-dua menteri yang menerajui kementerian terbabit perlu berkolaborasi dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia bagi memastikan setiap pelajar mampu mendapat capaian Internet yang pantas tidak kira di mana mereka berada.

Isu kedua ialah pembelian laptop atau tablet secara percuma kepada golongan pelajar yang tidak berkemampuan terutamanya golongan B40 supaya mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Selain itu, isu berkaitan teknikal pengajaran atas talian yang tidak membebankan pelajar dan bantuan psikologi kepada mahasiswa dan tenaga pengajar serta pengurangan kos pengajian perlu seiring dengan suasana pembelajaran dalam talian ketika ini.

Ketua Wanita Muda AMK Terengganu, Yuslaini Azmi berkata, semua tahu pandemik Covid19 ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia mengalami tekanan.

”Oleh itu, sepatutnya tenaga pengajar di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi tidak membebankan pelajar dengan tugasan yang terlampau banyak dan hal ini perlu dibawa perhatian oleh menteri berkenaan supaya dapat membuat penyelarasan teknik pembelajaran dan pengajaran atas talian dengan semua sekolah dan institut pengajian tinggi,”’ katanya yang mengulas kematian dua penuntut Universiti Teknologi MARA baru-baru ini.

Beliau yang kecewa kerana sehingga pada saat ini Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad dan Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Jidin masih belum membuat sebarang tindakan dan kenyataan.

Yuslaini mendakwa kes-kes itu berlaku akibat kegagalan penyelarasan gerak kerja Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Pendidikan dalam mengatasi masalah sistem pembelajaran dalam talian ini.

”Seharusnya Datuk Dr Noraini Ahmad dan Dr Mohd Radzi Md Jidin membentangkan satu langkah penyelesaian tentang isu pendidikan yang membebani para pelajar ini namun sehingga hari ini kedua-dua menteri berkenaan hilang dari radar dan tidak proaktif dalam menyelesaikan masalah sistem pendidikan negara yang melanda ketika ini.

”Jika keadaan ini terus berlaku saya khuatir kesihatan mental ramai pelajar akan terjejas,” ujarnya sambil meminta supaya menteri berkenaan mengambil tindakan sewajarnya dan mengikuti rapat isu yang melanda para pelajar dan mahasiswa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast