PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gara-gara ‘mengurat’ suri rumah dan memukul adik iparnya, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan polis dalam satu kejadian di hadapan rumah kedai, Jalan Cahaya 14, Ampang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, pengadu merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun telah dihubungi kakak iparnya yang diganggu seorang lelaki warga asing.

Menurut Mohamad Farouk, pada mulanya pengadu telah menegur suspek berusia 36 tahun itu secara baik sebelum warga asing terbabit bertindak menggigit jari tangan dan memukul lengan pengadu menggunakan pengunci motosikal.

“Pengadu mengalami luka kecil di jari serta sakit di bahagian lengan.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada suspek yang mengganggu kakak ipar pengadu yang juga seorang suri rumah dengan bertanyakan alamat dan butiran diri wanita itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, polis turut merampas sebatang pengunci motosikal di tempat kejadian dan suspek kini ditahan reman sehingga 23 Julai depan.

Tambah beliau, semakan lanjut juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan diri yang sah dan Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021. – MalaysiaGazette