PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

TANGKAK – Polis menahan seorang penganggur yang disyaki menikam bapa saudaranya sehingga maut dalam kejadian di Kampung Serom 3, Sungai Mati, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Mohd Fadhil Minhat berkata, dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, mangsa berusia 72 tahun telah ditikam di bahagian anggota badan, muka dan kepala oleh suspek berusia 36 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dipercayai berlaku perselisihan faham antara warga emas tersebut dengan suspek yang juga anak saudara lelakinya.

“Pihak polis menerima laporan jam 1.19 tengah hari dari seorang lelaki memaklumkan abang iparnya telah ditikam oleh suspek.

“Susulan itu, polis berjaya menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut beberapa jam kemudian,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Mohd Fadhil berkata, siasatan lanjut juga mendapati suspek yang tinggal serumah sejak kecil dengan mangsa, baru keluar dari penjara Januari, dan dipercayai telah dimarahi oleh mangsa kerana tidak berkerja.

Katanya, polis juga menemukan sebilah pisau di lokasi yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian pertelingkahan terbabit.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan satu rekod berkaitan dadah, manakala permohonan reman akan dibuat esok,” katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Bernama