Bekas pegawai tentera, Mohd Suhaizal Mat Sulaiman yang juga bekas pegawai tentera di dakwa di Mahkamah Sesyen pagi tadi atas pertuduhan menipu seorang lelaki lima tahun lalu.
JOHOR BAHRU – Seorang bekas pegawai tentera didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki dengan meminta imbuhan sebanyak RM8,500 bagi mendapatkan kontrak penyelenggaraan di sebuah Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) lima tahun lalu.

Tertuduh Mohd Suhaizal Mat Sulaiman, 43, bagaimanapun  mengaku  tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, suspek telah memperdaya seorang lelaki kononnya boleh mendapatkan kerja senggaraan sivil, mekanikal dan elektrikal fasalitas infra latihan membabitkan Rumah Keluarga Angkat Tentera (RKAT) Desa dan Infra Mekanikal Pulada dan kerja senggaraan sivil, mekanikal dan elektrikal Lapang Sasar Pulada.
Tertuduh didakwa mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM8,500 secara perbankan atas talian ke sebuah akaun bank tempatan miliknya yang mana mangsa tidak akan  menyerahkan wang berkenaan sekiranya tidak diperdayakan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 5 hingga 12 Februari 2016 di sebuah bank tempatan di Kampung Masjid Lama, Kluang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai  Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nor Syarina Raizan manakala tertuduh diwakil peguam Abdul Rashid Tasin.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Ogos depan bagi tarikh sebutan semula kes.-MalaysiaGazette