Paul Yong Choo Kiong rape Indonesian maid
Paul Yong Choo Kiong.

IPOH – Dua saksi terlindung termasuk mangsa kes rogol pembantu rumah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini secara tertutup hari ini.

Prosiding membabitkan kedua-dua saksi dilindungi itu dimulakan dengan keterangan mangsa pada kira-kira 2.15 petang sebelum saksi dilindungi seterusnya memberi keterangan mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009.

Bagaimanapun saksi ke-15 dan saksi ke-16 itu hanya boleh dilihat Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed manakala pihak pendakwaan dan peguam hanya boleh mendengar suara saksi tanpa melihat saksi ketika memberi keterangan.

Petugas media yang hadir juga tidak dibenarkan merakam gambar dan mendengar prosiding ketika saksi terlindung memberi keterangan namun hanya sempat membuat liputan ketika pegawai siasatan tempat kejadian Insp V. Simon, 38, dari Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menyambung keterangan pada pagi tadi.

Simon memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah melakukan pemeriksaan polilight pada lapan kesan tompokan disyaki air mani yang ditemukan pada sarung tilam di tempat kejadian berdasarkan maklumat pengadu sebelum ia dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk pengesahan.

“Sebagai penugasan forensik, kami buat pemeriksaan menggunakan polilight, dengan kesan cahaya yang kami temukan, kami akan buat penandaan dan hantar ke Jabatan Kimia maksudnya hanya ahli kimia akan membuat pemeriksaan secara khusus.

“Dalam penggunaan polilight ini perbezaan untuk menentukan cecair biologi antara air mani, air kencing, darah dan air liur adalah pada warna yang kami kesan pada permukaan yang kami buat pemeriksaan.

“Contohnya kesan air mani apabila disuluh pada permukaan tersebut, sejenis cecair lutsinar putih akan bersinar dan kami anggap ia sebagai air mani, disyaki sahaja bukan sahkan air mani dan kami buat penandaan untuk analisa di Jabatan Kimia,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Paul Yong.

Beliau berkata pihaknya turut menghantar dua swabbing stick yang ditemukan di tempat kejadian kepada Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi, Simon berkata, pihaknya tidak menjalankan pemeriksaan polilight pada mop yang dirampas kerana ia telah dicuci dan terus menghantarnya untuk dianalisa Jabatan Kimia.

Simon bagaimanapun bersetuju bahawa pasukan forensik pergi ke lokasi selepas 38 jam kejadian berlaku iaitu kira-kira 12.10 tengah hari pada 9 Julai dan pengaduan dibuat selepas 22 jam waktu kejadian selain bersetuju bahawa siasatan forensik dibuat secara khusus berdasarkan maklumat diberikan pengadu yang membawa ke sebuah bilik tingkat satu rumah Paul Yong ketika disoal Rajpal.

Semalam, Simon dalam keterangannya berkata, lapan kesan tompokan disyaki air mani ditemukan pada sarung tilam di rumah Paul Yong selain empat helai rambut.

Seramai 14 saksi telah memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 5 April lalu dan dijangka mahkamah akan memanggil 10 lagi saksi termasuk dua saksi terlindung untuk memberi keterangan.

Paul Yong, 51, mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di kediamannya di Meru Desa Park di sini antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

ADUN Tronoh itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi; Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani dan Ainul Wardah Shahidan manakala pasukan pembelaan terdiri daripada Rajpal, Salim dan Phang Yong Nur Sarah. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast