JAS Pulau Pinang menghantar pulang kontena membawa e-waste ke negara asal iaitu Amerika Syarikat.

BUTTERWORTH – Sebuah kontena membawa  muatan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang cuba dibawa masuk menerusi Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBTC), di sini, dihantar pulang ke negara asal iaitu Amerika Syarikat (AS).

Tindakan itu diambil selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mendapati bahan e-waste berkenaan dibawa masuk bagi tujuan pelupusan secara haram di negara ini tanpa kelulusan. 

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan pegawai JAS negeri dengan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (Cawangan Pelabuhan NBCT) semalam, membawa kepada penemuan kontena tersebut.

Antara barang e-waste yang ditemui dalam kontena tersebut.

Jelasnya, di bawah Konvensyen Basel kelulusan awal daripada negara penerima dan negara transit adalah diperlukan untuk pengimportan sebarang buangan terjadual termasuk e-waste.

“Mengikut prinsip asas Konvensyen Basel setiap buangan perlu dirawat atau dilupus di negara asal melainkan atas sebab-sebab tertentu seperti ketiadaan kemudahan rawatan sisa dan telah mendapat kelulusan awal JAS.

“Sehubungan itu, kita memberi notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pihak pengimport untuk pemulangan kontena tersebut ke negara asal iaitu Amerika Syarikat.

“Kegagalan pengimport mematuhi arahan tersebut boleh menyebabkan tindakan yang tegas diambil tanpa notis lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bahan buangan itu dihantar semula ke negara asalnya iaitu Amerika Syarikat.

 

Tanbah beliau, mana-mana pihak yang mengimport buangan terjadual termasuk e-waste (SW110) ke Malaysia tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah Alam Sekitarn adalah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. 

“Bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) adalah dilarang untuk diimport kecuali mengikut cara yang diperuntukkan seperti yang dinyatakan di Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017. 

“Bahan buangan ini perlu diuruskan pelupusannya mengikut kaedah yang betul kerana buangan tersebut mengandungi bahan berbahaya seperti logam-logam berat yang boleh mencemarkan alam sekitar jika tidak diuruskan secara selamat (environmentally sound manner),” kata Sharifah Zakiah. – MalaysiaGazette