JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan ahli politik di negeri ini supaya memberi keutamaan kepada krisis kesihatan dan ekonomi yang kini berada pada tahap membimbangkan.

“Sekarang bukan masa untuk berpolitik.

“Saya ingin memberi pandangan dan nasihat yang ikhlas kepada semua ahli politik di Johor ataupun mana-mana. Anda harus memberikan keutamaan kepada krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang kini berada di tahap yang amat membimbangkan. Sekarang bukan masa untuk berpolitik.

“Anda semua dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat demi rakyat dan negara. Tolonglah berikan tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan cuba sedaya boleh untuk memerangi pandemik ini,” titah baginda menerusi laman Facebooknya hari ini.

Dalam kenyataan rasminya itu, Tunku Ismail turut mengharapkan ahli politik di Johor mengenepikan segala perbezaan politik.

“Lakukan genjatan politik buat sementara ini dan berikan tumpuan sepenuhnya kepada Rakyat. Ini adalah masa untuk berkhidmat dan membantu Rakyat,” zahir baginda. – MalaysiaGazette.