Petugas kesihatan diwajibkan vaksin sebelum 15 September dan penduduk di Perancis yang sudah menerima vaksin selepas ini dikehendaki menunjukkan pas akses kesihatan semasa berkunjung ke kedai, kelab malam, pawagam, kafe dan sebagainya.

PARIS – Para petugas kesihatan barisan hadapan di Perancis diwajibkan untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 sebelum September ini.

Kegagalan berbuat demikian mereka akan berdepan tindakan gaji tidak akan dibayar oleh kerajaan.

Itu amaran terbaharu kerajaan Perancis terhadap para petugas kesihatan negara itu.

Syarat itu digunapakai untuk para doktor perubatan, jururawat dan kakitangan pejabat hospital, klinik serta sukarelawan kesihatan.

Presidennya,  Emmanuel Macron juga menegaskan bermula Ogos ini, setiap individu diwajibkan menunjukkan pas kesihatan untuk mengakses tempat tumpuan umum seperti kedai, bar, panggung wayang dan perjalanan tren jarak jauh di Perancis.

Pas itu adalah bukti pemegangnya sudah menerima suntikan vaksin atau negatif Covid-19.

“Saya sedia maklum mengenai tuntutan terhadap anda semua, dan saya faham anda semua sudah bersedia untuk komitmen ini yang merupakan sebahagian tanggungjawab kamu semua,” kata Macron dalam amanat khas secara langsung Isnin lalu.

Vaksinasi mandatori diwajibkan setiap orang yang bekerja di hospital, klinik pusat penjagaan dan mana-mana sektor yang berkait rapat dengan penjagaan kesihatan awam.

Mereka diwajibkan mengambil suntikan vaksin sebelum 15 September 2021 atau sedia berdepan risiko gaji tidak akan dibayar kerajaan, tegas Menteri Kesihatan Oliview Veran dalam televisyen LCI Perancis.

Pas kesihatan sudah ada dalam kegunaan semasa memasuki premis kelab malam yang kini sudah beroperasi sejak hujung minggu lalu.

Bagaimanapun beberapa lagi tempat akan ditambah untuk akses pas kesihatan iaitu perayaan, pawagam dan hospital mulai 21 Julai ini dan ia hanya untuk mereka yang berusia 12 tahun ke atas.

Bagi menggalakkan rakyat Perancis menerima suntikan vaksin, ujian calitan Covid-19 PCR yang kini diberikan secara percuma akan dikenakan bayaran kecuali mereka memiliki preskripsi doktor.

Selepas pengumuman presiden, sebuah laman web bernama Doctolib yang digunakan rkayat untuk menempah suntikan vaksin itu terganggu berikutan jumlah pelayar yang ingin mendapatkan temujanji suntikan sangat tinggi.-MalaysiaGazette