Seramai 19 daripada 23 individu disyaki ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai 'Geng Sakai' tiba untuk didakwa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 19 suspek disyaki ahli Geng Sakai yang dikatakan terlibat dalam banyak kes jenayah terancang di ibu kota didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kesemuanya disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof.

Selain itu, menurutnya, empat lagi ahli geng tersebut akan dituduh kemudian kerana sedang menjalani rawatan kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.

Penahanan mereka dibuat dalam serbuan JSJ Kuala Lumpur menerusi Op Fortress yang turut melibatkan Cawangan Khas Bukit Aman, AMLA Bukit Aman, Bahagian D3 dan D7 Bukit Aman, JSJ Kontinjen Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu serta dibantu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14), Bukit Aman.

“Operasi ini bertujuan untuk menghapuskan  jenayah Terancang Geng Sakai dan berdasarkan risikan dan siasatan mendapati kumpulan ini terlibat melakukan aktiviti jenayah serius seperti bunuh, pemilikan senjata api, pengedaran dadah, jenayah kekerasan dan gangsterisme di Kuala Lumpur.

Seramai 19 daripada 23 individu disyaki ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Sakai’ tiba untuk didakwa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 JULAI 2021.

“Dalam operasi ini, polis telah berjaya menahan seramai 26 orang suspek berusia dalam lingkungan 18 hingga 47 tahun yang di syaki menjadi ahli kumpulan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Saiful Annuar, JSJ Kuala Lumpur dengan di bantu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) Bukit Aman telah membuka kertas siasatan ke atas kesemua suspek.

Daripada jumlah tangkapan tersebut, seramai 18 orang ahli kumpulan telah ditahan reman di bawah Prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 selama 28 hari.

“Manakala, seramai lapan orang sudah dituduh atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana tiga daripadanya adalah ahli kumpulan Geng Sakai yang kini berada di Penjara Sungai Buloh.

“Hasil siasatan juga mendapati terdapat seorang ahli kumpulan berkenaan berada di Pusat Koreksional, Puncak Alam dan seorang lagi sedang menjalani hukuman di Pusat Pemulihan Akhlak, Simpang Renggam.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan arahan di peroleh untuk tuduh seramai 23 orang suspek di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli suatu kumpulan jenayah terancang yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

“Polis Kuala Lumpur memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan kumpulan jenayah terancang kerana tindakan tegas akan diambil terhadap seluruh ahli kumpulan dalam usaha menumpaskan kumpulan jenayah terancang di Kuala Lumpur,” katanya.

Sekiranya ada sebarang maklumat berkaitan jenayah, orang ramai menyalurkannya ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam JSJ Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999. – MalaysiaGazette