Ayob Khan Mydin Pitchay

KUALA LUMPUR – Larangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada mengedarkan bakul makanan di pusat khidmat ahli parlimen dibuat oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Muar.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, larangan itu bukan datang daripada pihaknya.

“Sebenarnya tindakan untuk menghentikan program serahan bantuan di pejabat berkenaan dibuat oleh penguat kuasa Pusat Kesihatan Daerah (PKD) bukannya datang dari polis.

“Sebarang permohonan ahli Parlimen untuk sebarang aktiviti memang dibenarkan tapi perlu mendapatkan kebenaran daripada PKD Daerah Muar, Syed Saddiq hanya mohon untuk agih rumah ke rumah tetapi tidak di pusat Khidmat Parlimen Muar.

“PKD yang turun ke lokasi dan membuat pemerhatiannya mendapati program di Parlimen Muar itu dihadiri lebih 100 orang tanpa penjarakan fizikal serta tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sebelum pemimpin itu diarah menghentikan pengagihan serta menutup pusatnya serta-merta,” katanya dalam sidang media khas di Johor Bahru hari ini.

Tambah Ayob Khan, mana-mana ahli Parlimen tidak dihalang untuk menganjurkan program pengagihan bantuan makanan tetapi perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau difahamkan permohonan yang dibuat Syed Saddiq hanya untuk pengagihan bantuan bakul makanan rumah ke rumah tetapi apa yang berlaku sebaliknya di mana barang disampaikan di pusat khidmat Parlimen.

“Pejabat dia masih dibuka.. cuma aktiviti pengagihan makanan dihentikan sementara waktu sehingga dia mendapat kebenaran daripada PKD Muar,” katanya lagi.

Semalam, Syed Saddiq dalam hantaran Facebook memaklumkan Pejabat Parlimen Muar diarah tutup oleh polis setelah menerima kehadiran ‘luar biasa’ orang ramai ke pusat berkenaan sejak Ahad lalu bagi mendapatkan bantuan bakul makanan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pejabat saya tak boleh tolak orang ramai datang, tak sampai hati – Syed Saddiq