Antara barang yang dirampas dalam milikan ahlong oleh polis Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis menahan sekumpulan 20 individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang didakwa terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen dalam beberapa serbuan di negeri ini pada 7 Julai lalu.

Kesemua tangkapan yang berusia 21 hingga 59 itu dikatakan menggunakan kekerasan dengan mengugut mangsa yang gagal membayar semula pinjaman.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua tangkapan membabitkan 15 orang daripada kumpulan kongsi gelap Geng 24 yang didalangi seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk Seri.

Manakala empat lagi suspek daripada Kumpulan Wong dan seorang individu bergerak solo.

Kata Mohd Shuhaily, hasil siasatan mendapati Datuk Seri berusia 59 tahun merupakan dalang utama kumpulan pertama dan mereka terdiri daripada ahli kongsi gelap Geng 24 yang menjalankan jenayah lain seperti perjudian, dadah, pelacuran dan pemerasan.

Antara kenderaan yang dirampas dalam tangkapan kumpulan ahlong.

Jelas Mohd Shuhaily, hasil siasatan mendapati kesemua ahlong itu menawarkan pinjaman tanpa lesen dengan kadar faedah tinggi sehingga 50 peratus.

“Dua kumpulan ini menawarkan pinjaman dengan kadar faedah di antara 30 hingga 50 peratus dengan bayaran mingguan atau bulanan.

“Manakala pemberi pinjam ketiga menawarkan faedah tiga hingga lima peratus dan dilihat lebih oportunis dalam keadaan Covid-19 kononnya untuk meringankan beban orang, tetapi salah kerana tidak berlesen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Menurut Mohd Shuhaily, siasatan juga mendapati ahli kumpulan terbabit akan mengugut sekiranya peminjam gagal melunaskan hutang termasuk menggunakan senjata.

Tegas beliau, kumpulan itu juga dikatakan mampu memperoleh keuntungan sehingga RM500,000 setiap bulan dengan menjalankan kegiatan ahlong haram.

Antara peminjam mereka adalah peniaga kecil, kumpulan pemilik kedai, pemilik kilang dan pekerja swasta.

“Dalam serbuan itu, kita merampas sebelas buah kenderaan mewah termasuklah jenis Toyota Vellfire, BMW, Mercedes Benz dan Honda serta sejumlah telefon bimbit, kad bank, kad perniagaan, wang tunai RM24,520, jam tangan dan barang kemas.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. – MalaysiaGazette