KUALA LUMPUR – Orang ramai digalakkan menggunakan perkhidmatan portal MyGovernment secara dalam talian yang disediakan oleh kerajaan kerana semua perkhidmatan kerajaan boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana lokasi.

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) berkata, sejak tahun 2003 portal MyGovernment menyediakan informasi berkaitan dengan perkhidmatan kerajaan, kemudian ditambah baik dari semasa ke semasa sehingga menjadikannya sebuah Gerbang Rasmi Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan Malaysia.

Ia menyediakan pautan ke pelbagai perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh kementerian/jabatan/agensi sektor awam termasuklah pelaksanaan Single Sign On (SSO) bagi capaian kepada perkhidmatan kerajaan.

Walau bagaimanapun, bermula 1 Mei 2017, Portal MyGovernment telah ditambah baik dengan menyediakan informasi dan perkhidmatan dalam talian kerajaan merentas agensi secara berpusat melalui pendekatanm peristiwa kehidupan dan berpaksikan rakyat.

Portal ini juga telah menghubungkan pengguna dengan pelbagai perkhidmatan dalam talian lain yang disediakan oleh kementerian/jabatan/agensi sektor awam.

Pendekatan yang digunakan ini memudahkan rakyat untuk memilih perkhidmatan yang diperlukan mengikut peristiwa kehidupan masing-masing tanpa perlu hadir ke premis-premis kerajaan.

Kini, sebanyak 28 kementerian dan 57 agensi sektor awam telah berkolaborasi dan menjadi rakan strategik dalam penyediaan kandungan dan integrasi perkhidmatan dalam talian untuk portal ini.

Sehingga kini, sebanyak 389 perkhidmatan dalam talian kerajaan mengikut peristiwa kehidupan boleh dicapai dalam Portal MyGovernment ini.

Dengan sinergi yang strategik antara pelbagai jabatan kerajaan dalam merealisasikan agenda pendigitalan negara melalui pembangunan portal MyGovernment ini, insiden kesesakan di kaunter seperti di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju yang tular di media sosial baru-baru dapat dielakkan, kata MAMPU dalam kenyataan di sini.

Justeru itu, MAMPU menyeru rakyat mengadaptasi teknologi dalam kehidupan harian dengan menggunakan perkhidmatan kerajaan secara atas talian.

Dalam pada itu, katanya. kerajaan sedang giat memperluaskan perkhidmatan dalam talian secara End-To-End (E2E) yang merentasi pelbagai agensi awam dan swasta bagi memudah cara interaksi rakyat, industri dan kerajaan. – MalaysiaGazette