Ketua Unit Kawalan Jangkitan, Briged Jeneral Dr. Sharifah Azlin Juliana (dua kiri) diiringi oleh Ketua Unit Komander, Kolonel Dr. Mohd Mansor Shariff (kiri) menerima sumbangan bantuan daripada Pengerusi SARJANA, Datuk Khaidhirah Abu Zahar (dua kanan) pada Program CSR Penyerahan Kipas Industri kepada Zon Pengurasan Bencana, Unit Rawatan Covid-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 100 pesakit Covid- 19 kategori tiga akan ditempatkan di Zon Pengurusan Bencana (DMZ) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) secara berperingkat bermula esok.

Ketua Unit Kawalan Jangkitan HATTM, Dr Sharifah Azlin Juliana Syed Zainal berkata, kebanyakkan pesakit yang dipindahkan adalah dari Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

“Sehingga kini, seramai 50 pesakit Covid-19 kategori empat dan lima telahpun ditempatkan di sini sejak ia dibuka pada Sabtu lalu.

“Kita buka untuk kesemua pesakit, tidak kira anggota ATM atau orang awam yang telah diputuskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). Sebelum ini, kita hanya terima 21 orang pesakit Covid- 19.

“Dengan bantuan daripada KKM, kapasiti unit rawatan rapi akan ditambah lagi dengan kemasukan peralatan ICU dan kita cadang untuk tambah 17 lagi katil daripada empat katil sekarang,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan kipas industri dari Pertubuhan Sukarelawan Jalinan Nasional (SARJANA).

Tambah Dr Sharifah lagi, kini seramai 50 petugas kesihatan ditempatkan bagi menguruskan pesakit Covid-19 di sini.

Namun pihaknya masih mengalami kekurangan petugas kesihatan untuk menguruskan 150 pesakit Covid 19 akan datang yang bakal ditempatkan di sini.

Sebelum ini, ATM telah menggazetkan DMZ sebagai wad rawatan pesakit Covid-19 di parkir tingkat bawah HATTM untuk menampung keperluan rawatan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat di Lembah Klang.

Ketua Unit Kawalan Jangkitan, Briged Jeneral Dr. Sharifah Azlin Juliana (dua kiri) diiringi oleh Ketua Unit Komander, Kolonel Dr. Mohd Mansor Shariff (kiri) bersama Pengerusi SARJANA, Datuk Khaidhirah Abu Zahar melihat barang bantuan pada Program CSR Penyerahan Kipas Industri kepada Zon Pengurusan Bencana, Unit Rawatan Covid-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 JULAI 2021.

Sementara itu, Pengerusi (SARJANA), Datuk Khaidiriah Abu Zahar yang hadir menyampaikan sumbangan kipas industri di HATTM berkata, ia adalah atas dasar keprihatinan pihaknya terhadap kekangan yang dialami petugas barisan hadapan ketika ini.

“Kita memberi sedikit sumbangan barisan hadapan HATTM dengan menyampaikan 20 buah kipas industri untuk diletakkan di ruang parkir basement bagi memberi keselesaan pada pesakit-pesakit Covid-19.

“Ini kerana tempat tersebut akan menempatkan pesakit kategori tiga hingga lima dan juga pesakit ICU,” katanya. – MalaysiaGazette.