Sanya, satu daripada kawasan peranginan di wilayah Hainan China, berjaya menduduki tempat keempat dalam senarai Anugerah Pilihan Pelancong - Destinasi Popular 2021- Gambar hiasan.

BEIJING – Sanya, satu daripada kawasan peranginan di wilayah Hainan China, berjaya menduduki tempat keempat dalam senarai Anugerah Pilihan Pelancong – Destinasi Popular 2021 yang dipilih oleh platform ulasan pelancongan global, TripAdvisor, lapor Agensi Berita TASS.

Menurut agensi itu, industri pelancongan bandar Sanya mula pulih sejak Mei 2020 dengan kadar kunjungan pelancong mencatat 70 peratus sepanjang tahun lepas.

Antaranya, pelancong berumur antara 18 hingga 35 tahun direkodkan golongan utama yang menggalakkan pemulihan industri pelancongan.

Seiring dengan peningkatan taraf hidup rakyat China, pelancongan menjadi komponen penting dalam kehidupan seharian rakyat negara ini.

Sepanjang cuti panjang lima hari sempena Hari Pekerja 1 Mei, jumlah penduduk yang mengadakan pelancongan dalam negeri mencatat 230 juta, sekali gus menyumbang pendapatan pelancongan sebanyak RMB113.23 bilion (RM71.22 bilion).

Menurut statistik Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China pula, kadar pendapatan pelancongan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 10 tahun lalu turut semakin meningkat.

Industri pelancongan menyumbang RMB10.94 trilion (RM 6.88 trilion) pada 2019, menduduki 11.05 peratus daripada KDNK serta menyediakan 28.25 juta pekerjaan langsung. – BERNAMA