Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan satu laporan polis diterima daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan meninggalkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk membawa isterinya yang hamil mendapatkan rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, laporan diterima dari pengadu pada Isnin lalu.

“Hasil semakan polis mendapati lelaki berusia 30 tahun itu telah memohon kebenaran untuk keluar dari kawasan PKPD bagi tujuan rawatan isterinya yang sedang hamil pada 6 Julai lalu.

“Lelaki tersebut dinasihatkan oleh anggota polis yang bertugas untuk merujuk kepada pihak Kementerian Kesihatan di kawasan tersebut dan dibenarkan keluar untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, rentetan laporan polis dari lelaki itu, polis telah memulakan siasatan terperinci dan tindakan sewajarnya akan diambil pihaknya.- MalaysiaGazette