KUALA LUMPUR – Prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memberi petunjuk kadar vaksinasi lengkap 2 dos telah melepasi nilai ambang 10 peratus ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkembangan itu memberi gambaran negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok (herd immunity).
Jelas beliau, indikator ini sejajar dengan perancangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10 peratus populasi pada akhir bulan Julai ini.
“Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, seluruh negara mampu beralih ke Fasa 2 pada awal bulan Ogos seperti mana Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang telah pun terlebih dahulu berada di Fasa 2 setelah melepasi nilai ambang ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan di bawah PPN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.
Menurutnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 80,827 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara semalam dengan jumlah kekuatan anggota seramai 20,005 orang.
“Ini termasuk pemeriksaan ke atas 2,257 kilang, 15,256 premis perniagaan, 1,148 tapak pembinaan dan 286 asrama penempatan pekerja,” katanya.
Daripada jumlah itu, 68 premis meliputi kilang (23), premis perniagaan (43) dan tapak pembinaan (2) diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. – MalaysiaGazette