Mohd Shuhaily (tengah) menujukkan pistol serta dadah bernilai RM1.47 juta yang dirampas pihaknya di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan heroin susulan penangkapan empat individu termasuk pasangan kekasih dalam dua serbuan di Perai dan Simpang Ampat.

Serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin lalu itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.47 juta.

Turut dirampas dalam serbuan itu sepucuk pistol jenis CZ75B CAL.9 Luger bersama kelopak serta 13 butir peluru

Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan pistol yang dirampas dalam serbuan tersebut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki berusia 34 dan 42 tahun di hadapan sebuah rumah teres di Chai Leng Park yang membawa kepada rampasan syabu seberat 29.08 kilogram (kg).

Kata beliau, hasil pemeriksaan lanjut di dalam kediaman satu tingkat itu pihak polis menahan seorang wanita berusia 25 tahun yang juga kekasih kepada suspek utama berusia 42 tahun.

Jelas Mohd Shuhaily, hasil pemeriksaan lanjut pihak polis menemui wang tunai berjumlah RM760,000 dan barang kemas yang dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah.

Mohd Shuhaily (tengah) mengadakan sidang akhbar berhubung rampasan dadah bernilai RM1.47 juta di IPK Pulau Pinang hari ini.

“Berpandukan pada maklumat serbuan pertama, pihak polis memeriksa sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard di kawasan Seberang Jaya sebelum menemui sepucu pistol, satu kelopak serta 13 butir peluru.

Turut dirampas, dadah jenis heroin base, heroin serta kafein.

“Susulan itu, kita membuat satu lagi serbuan di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan sebelum menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang merupakan peternak ayam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, hasil siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah itu didalangi pasangan kekasih berkenaan manakala dua lagi lelaki merupakan ahli sindiket.

Sindiket pengedaran dadah itu didalangi pasangan kekasih berusia 25 da 42 tahun.


Kata beliau, sindiket dipercayai aktif sejak awal tahun 2021 dan dadah yang dirampas untuk pasaran tempatan.

“Secara keseluruhan dadah yang dirampas adalah 29.01 kilogram syabu, heroin base (4 kg), heroin (8.6 kg), kafein (52.05 kg) yang bernilai RM1.47 juta.

“Bagi sitaan pula, wang tunai berjumlah RM790,000; wang dalam akaun bank RM45,623; sembilan buah kenderaan pelbagai jenis bernilai RM336,150 serta pelbagai barang kemas bernilai RM55,304.

“Secara keseluruhan nilai sitaan dan dadah berjumlah RM2.73 juta,” ujar beliau.

Antara kenderaan yang dirampas daripada sindiket pengedaran dadah tersebut.

Tambah beliau, semakan rekod lampau mendapati kesemua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan tiga lelaki itu positif dadah.

“Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan dan dadah yang dirampas boleh digunakan 404,500 penagih.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” kata Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette