Datuk Seri Abd Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis  memulakan siasatan berhubung penularan rakaman video berkaitan mogok Code Black sebagai tanda sokongan kepada pegawai perubatan berstatus kontrak di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini, dua laporan diterima oleh Bukit Aman.

“PDRM mengesahkan telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung penularan klip video bertajuk “Malaysian Doctors on Strike/Mogok? 1st-12th July 2021 Code Black” sejak beberapa hari lalu.

“Klip video berdurasi enam minit 49 saat tersebut memaparkan rakaman ucapan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Dr. Han @ Gigi Han yang mempertikaikan skim pelantikan doktor secara kontrak dalam sektor perkhidmatan awam.

“Melalui rakaman video ini juga beliau menyeru orang ramai agar mengambil bahagian dengan menukar gambar profil di media sosial masing- masing dengan warna hitam atau warna monokrom mulai 1 Julai 2021 hingga 12 julai 2021 dan memuat naik gambar dengan hashtag #savemycontracthcw, #codeblackmy dan #blackmondaymy pada 12 julai 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abd Jalil, tindakan tersebut dinamakan sebagai code black yang membawa maksud keadaan darurat di hospital akibat ancaman kepada petugas atau ancaman bom di hospital.

Ujarnya, berdasarkan pemerhatian dalam video itu, code black bertujuan untuk memberikan sokongan kepada pegawai perubatan berstatus kontrak yang menuntut untuk diberi keistimewaan sebagaimana pegawai perubatan berstatus tetap.

Menurut beliau, individu tersebut juga mendakwa sistem yang diamalkan oleh kerajaan boleh menjejaskan kehidupan semua rakyat Malaysia dan juga perkhidmatan kesihatan selama enam dekad sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.

Polis menjalankan siasatan ke atas video dan segala kandungannya di bawah seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan melakukan suatu kesalahan terhadap mana-mana golongan dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk keputusan selanjutnya,” ujar Abd Jalil.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast