Sunday, December 15, 2024
Home Seni Hidup Saya baru berurusan dengan Siti Bainun berkaitan anak angkat

Saya baru berurusan dengan Siti Bainun berkaitan anak angkat

Datuk Mas Ermieyati Samsudin
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengakui mengenali Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun sebelum ini yang mengendalikan sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.
Naib Ketua Srikandi Bersatu itu berkata, beliau pernah berurusan dengan wanita itu berkaitan proses anak-anak angkat di bawah jagaan Rumah Bonda itu.
Malah jelas beliau, beberapa hari sebelum Bella ditemui, Siti Bainun ada menghubunginya dan memohon bantuan untuk kes anak di dalam jagaannya.
“Jujur katakan juga bahawa saya mengenali Pengasas Rumah Bonda. Malah pernah berurusan dengannya berkenaan dengan proses anak-anak di bawah jagaan beliau kerana ada sahabat-sahabat yang ingin mengambil anak di bawah jagaan Rumah Bonda sebagai anak angkat.
“Malah beberapa hari sebelum Bella ditemui, Siti Bainun ada menghubungi saya dan memohon bantuan saya untuk kes anak di dalam jagaannya.
“Memandangkan beliau masih kuarantin di Hospital Sungai Buloh maka perbincangan itu berhenti setakat itu. Tiada tindakan lanjut dari saya memandangkan saya pun tidak ada butiran secara terperinci,” katanya di hantaran Facebook miliknya di sini.

Rumah Bonda kini menjadi kontroversi gara-gara  isu penderaan kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) down syndrome berumur 13 tahun dikenali sebagai Bella yang ditemui dalam keadaan melecur dan bernanah di beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Saiful Annuar Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan pada 24 Jun lalu mengenai kes tersebut dan mangsa segera diselamatkan selain dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.

Kelmarin Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur menyita Rumah Bonda kerana rumah kebajikan itu didapati tidak berdaftar dengan pihaknya.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati percaya pada sistem kehakiman dan perundangan negara ini.
Namun tegas beliau, seseorang itu tidak didapati bersalah sehingga dia terbukti bersalah di mahkamah.

“Benar, seseorang itu tidak didapti bersalah sehingga ianya Terbukti Bersalah di Mahkamah. Sekiranya benar dan didapati bersalah pasti akan dikenakan hukuman sewajarnya.

“Buat anak syurga Bella, ramai yang doakan Bella. Ramai yang sayangkan Bella. Sama-sama kita doakan Bella dan anak syurga lain ini dilindungi dan terhindar dari mereka yang berhati kejam ini. Allahuakbar,” katanya.
Siti Bainun pernah diberi Anugerah Khas Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2016 semasa  Mas Ermieyati menjad ketua sayap UMNO . – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast