Tham Wai Yuen
Tham Wai Yuen menunjukkan laporan polis di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

KUALA LUMPUR – Belum sempat Yang di-Pertuan Agong (YDPA) meneliti tuntutan 40 badan bukan kerajaan (NGO) mengenai kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang aktivis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Tham Wai Yuen, 48, individu yang sama membawa bendera putih ke Istana Negara pagi tadi bertindak demikian susulan dakwaan kerajaan gagal membendung kes Covid-19.

“Saya buat laporan polis kerana kerajaan gagal menjaga rakyat malah rakyat dikurung sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya sejak Jun hingga sekarang.

“Tetapi masih tidak dapat mengawal jangkitan Covid-19 yang semakin tinggi dan semakin ramai orang mati.

“Walaupun kita rakyat Malaysia duduk diam-diam di rumah dan tak pergi ke sana ke sini tetapi jangkitan tetap tidak berkurangan,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan IPD Dang Wangi hari ini.

Menurut Wai Yuen, ramai ahli perniagaan binggung dan hilang hala tuju dengan prosedur operasi standard (SOP)  yang tidak konsisten dan sentiasa berubah-ubah.

“Sekejap MITI benarkan berniaga, keesokan hari pihak polis atau PBT beri saman kepada mereka, ada yang kena RM10,000 dan RM50,000 pun ada,” katanya.

Lebih menyedihkan, dakwanya, ketika rakyat disuruh duduk di rumah, ahli politik pula berebut jawatan dan habuan politik dan senario itu menjejaskan usaha untuk membendung pandemik.

“Kerajaan sepatutnya berfungsi menjaga rakyat pada masa ini, tetapi mereka asyik berpolitik kerana berebut jawatan. Ada Menteri Besar pandu uji kereta baharu, ada menteri hadir ke pesta durian, ada menteri kahwin pula secara dalam talian.

“Ada menteri ikat perut atau kurus badan, saya pun tak tahulah. Ketika rakyat ikat perut, dia pun nak ikat perut,” sindirnya.

Wai Yuen tidak menafikan majoriti rakyat Malaysia kini sangat tertekan dengan kesan Covid-19 sambil menyifatkannya sebagai satu ujian tuhan kepada manusia.

“Pandemik ini bukan daripada siapa-siapa, ini memang dari Allah turunkan. Tapi hari ini Allah uji kita siapa betul-betul boleh jaga negara ini…siapa boleh jaga rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kalau terus berpolitik negara akan gagal – Tham

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.