Ladang Solar Terapung Sembcorp Tengeh Singapura dipercayai satu daripada sistem fotovolta (PV) solar terapung terbesar dunia, dibuka secara rasmi di Tengeh Reservoir hari ini.

SINGAPURA – Ladang Solar Terapung Sembcorp Tengeh Singapura dipercayai satu daripada sistem fotovolta (PV) solar terapung terbesar dunia, dibuka secara rasmi di Tengeh Reservoir hari ini.

Mempunyai keluasan 45 hektar bersamaan 45 padang bola sepak, ladang solar PV itu mampu menjana sehingga enam juta kiloWat-jam tenaga menerusi 122,000 panel suria.

Pada 10 Februari 2020, Agensi Air Kebangsaan Singapura PUB telah melantik Sembcorp Industries untuk merangka, membina, dan mengendali projek itu.

“Melalui ladang solar terapung ini, satu lagi langkah ke hadapan PUB demi mencapai kelestarian tenaga dalam rawatan air. Sumber tenaga solar yang banyak, bersih dan hijau menjadi keutamaan PUB dan Singapura untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida,” kata Ketua Eksekutif PUB, Ng Joo Hee, dalam satu kenyataan.

Tenaga elektrik dihasilkan ladang solar tersebut mencukupi bagi menggerakkan lima loji rawatan air tempatan, mengimbangi keperluan tenaga tahunan PUB sekitar 7.0 peratus dan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

Ia bersamaan dengan bekalan tenaga untuk 16,000 flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan mengurangkan pelepasan karbon sekitar 32 kiloton setiap tahun, sama seperti mengurangkan 7,000 kereta di jalan raya.

“Sembcorp Tengeh Floating Solar Farm umpama permata dalam portfolio kami. Sebagai perintis kepada sistem tenaga boleh baharu tempatan, Sembcorp mempunyai lebih 3,300 megawatt aset tenaga boleh baharu di seluruh dunia.

“Kami komited dan mempunyai rekod prestasi dan kompetensi, untuk menyokong Rancangan Hijau Singapura,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sembcorp Industries Wong Kim Yin.

Pembinaan sistem PV solar terapung itu bermula Ogos 2020.- BERNAMA