Keadaan tembok pagar masjid di Taman SPPK, Pasir Puteh di Ipoh yang diconteng cat merah oleh pihak tidak bertanggungjawab. Foto: Facebook

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat berhubung kejadian tembok pagar masjid di Taman SPPK, Pasir Puteh di Ipoh, Perak yang diconteng menggunakan semburan cat merah awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Yahaya Hassan berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima daripada seorang Ahli Jawatankuasa masjid berusia 60 tahun pada pukul 9.07 pagi.

“Kejadian itu disedari sekitar jam 5.15 pagi semasa pengadu bersama isterinya tiba di masjid berkenaan dan mendapati terdapat tulisan conteng cat merah bertulis ‘jangan buka bunyi terlalu kuat’ pada tembok pintu masuk utama masjid berkenaan.

“Semasa kejadian itu tiada individu lain ditemui di kawasan sekitar, selain pengadu dan isteri.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengadu yang juga muazin memaklumkan tiada mana-mana individu atau kumpulan yang menyatakan tidak puas hati secara zahir melalui lisan mahupun di sosial media berhubung bunyi yang kuat dari masjid tersebut.

Ujar pengadu, beliau akan memasang alunan bacaan ayat al-Quran selama kira-kira 10 minit sebelum melaungkan azan solat subuh, setiap hari.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, anggaran kerugian yang dialami pihak masjid akibat tindakan vandalisme itu untuk mengecat kembali pagar lebih kurang RM100.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencemarkan tempat ibadat yang boleh dikenakan hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Itu lah akibatnya orang Melayu/Islam bergaduh, agama Islam di perlekehkan… Apa cerita orang Ipoh…?

Comments are closed.