Gambar tular menunjukkan lelaki tersebut terkapai di tengah laut sebelum diselamatkan pihak Penang Port.

GEORGE TOWN – Penang Port Sdn. Bhd. (Penang Port) menafikan dakwaan seorang lelaki terjun ke dalam laut berdekatan Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di sini kerana tidak dibenarkan menaiki feri.

Penang Port dalam satu kenyataan hari ini berkata, lelaki berkenaan tidak memasuki terminal untuk menaiki feri mahupun melompat dari SPCT seperti dakwaan yang tular di media sosial.

“Sebenarnya kejadian itu berlaku pada Isnin lalu di mana lelaki tersebut diselamatkan oleh pekerja Penang Port dengan memberikan pelampung selepas melihat dia terkapai-kapai di dalam laut.

“Lelaki itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai di sini untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.

Terdahulu tular video serta beberapa keping gambar di media sosial yang mendakwa seorang lelaki tidak dibenarkan menaiki feri untuk ke Seberang Perai berikutan tiada surat kebenaran merentas daerah sebelum nekad terjun untuk berenang. – MalaysiaGazette