Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan harus mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu ketika negara masih lagi berdepan dengan situasi tidak menentu ketika ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pengumuman kerajaan bahawa sebanyak RM600 bilion telah pun digunakan tidak dapat dilihat dengan jelas ia dibelanjakan bagi membantu rakyat.

Masih ramai lagi rakyat yang tidak mempunyai makanan ketika pandemik Covid-19 masih berlaku dan kerajaan perlu menanganinya dengan menggunakan wang yang ada, katanya.

“Saya tahu, saya di Langkawi wakil rakyat terpaksa bekal makanan kepada orang ramai. Ini terpaksa sebab mereka tiada makanan.

“Ada pula mereka yang tiada pendapatan langsung dan terpaksa dihalau keluar dari rumah sewa.

“Soal kontrak besar nak bagi kepada orang itu, orang ini, itu semua pada masa ini forget about it. Itu semua kemudian. Tapi, perbelanjaan kerajaan mesti ditumpu kepada usaha menangani wabak Covid-19 ini,” katanya pada Forum Reset Malaysia yang berlangsung secara hibrid hari ini.

Menurut Dr Mahathir, pandemik merupakan musuh realiti yang perlu diselesaikan segera dan kerajaan harus menggunakan kuasa demi membantu rakyat selain menggunakan wang yang ada sebagai perbelanjaan untuk melawan musuh tersebut.

Sebagai contoh, katanya, jika hendak membangunkan hospital untuk merawat pesakit Covid-19, kerajaan boleh membina dengan menggunakan wang yang ada.

Katanya, dari segi perbelanjaan ia tidaklah terlalu banyak hingga mencecah sehingga RM100 bilion dan ia sudah pasti boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid yang jumlahnya terlalu ramai sekarang ini.

“Sekarang ini ada hospital pun kita tak guna, ada orang nak bagi pinjam kita pun tak guna juga, kerana kita ada 11,000 orang (dijangkiti Covid-19) ketika ini. Kita kena bagi tempat kepada mereka. Jangan kita hanya tahu balik duduk dirumah sudah cukup,” ujarnya.

Terdahulu, pada forum sama, Dr Mahathir mendakwa, kerajaan pada masa ini dilihat terlalu boros dalam berbelanja.

Katanya, perkara itu berlaku disebabkan kerajaan hari ini mewarisi sikap boros daripada kerajaan terdahulu sebelum diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH).

“Sebab itu kita (PH) cuba menyediakan dokumen (untuk berbelanja). Jadi kita mewarisi satu kerajaan yang mempunyai masalah kewangan. Tiada duit yang cukup dan kita tak boleh tadbir negara dengan baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast