Tunku Ismail Sultan Ibrahim melawat Pusat Penyimpanan Vaksin di Hospital Permai, Johor Bahru.

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim  mahu program vaksinasi di semua daerah di negeri itu diberi keutamaan agar imuniti kelompok boleh dicapai secepat mungkin.

Menerusi satu kenyataan di Facebooknya, beliau  turut menasihati agar proses logistik pengedaran vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dipercepatkan dan  memastikan bekalan vaksin di PPV sentiasa mencukupi.

Malah, bilangan lokasi PPV dan pegawai-pegawai perubatan juga perlu ditambah bagi meliputi seluruh negeri Johor.

Tunku Ismail berkata, sebanyak 83 peratus warga Johor telah mendaftar untuk menerima vaksin.

“Bagi mereka yang belum, saya ingin menyeru kepada anda untuk mendaftar secepat mungkin. Saya ulangi, jika imuniti kelompok dapat dicapai, maka pemulihan ekonomi Johor dapat bermula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tunku Ismail memeriksa proses pengedaran bekalan vaksin Pfizer.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau melawat Pusat Penyimpanan Vaksin di Hospital Permai, Johor Bahru untuk memeriksa proses pengedaran bekalan vaksin Pfizer yang akan diedarkan ke PPV di negeri ini dalam masa terdekat.

Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM) kerana telah memberi kerjasama untuk mempercepatkan program vaksinasi di semua daerah di Johor.

Tunku Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada para barisan hadapan atas khidmat dan pengorbanan mereka menyelamatkan nyawa rakyat. – MalaysiaGazette