PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

KULAI – Polis menahan enam lelaki yang disyaki terlibat dalam satu kejadian merusuh bersenjatakan parang di tepi jalan dekat Lorong 4, Kulai Besar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu yang mengatakan anaknya cedera pada pergelangan tangan dan tapak kaki akibat diserang sekumpulan lelaki.

Pengadu memaklumkan perkara itu setelah menerima panggilan telefon daripada Hospital Temenggong Kulai kira-kira jam 7.30 pagi.

Bertindak atas laporan itu, polis berjaya menahan enam lelaki berusia antara 22 hingga 33 tahun dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 8 hingga 9.15 malam tadi.

Tok Beng Yeow

“Kesemua suspek itu ditahan di kawasan Indahpura, Kulai sebelum dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek berada di bawah pengaruh alkohol dan salah seorang daripada mereka dipercayai merupakan ahli kongsi gelap Geng 04 berdasarkan tatu di badannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beng Yeow memberitahu, pemeriksaan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mencari parang yang digunakan suspek dalam pergaduhan itu, selain mengenal pasti punca kejadian.

Semua suspek kini dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Kulai, ujarnya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 48 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966. – MalaysiaGazette