Kerajaan Gagal criticise government Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk ahli dari parti-parti politik perlu lebih bijaksana ketika mengkritik kerajaan yang sedang menangani pandemik Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dalam kehidupan di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi semua pihak mempunyai hak melontarkan pandangan dan bersuara termasuk mengkritik kerajaan namun, ia haruslah dizahirkan dengan bijaksana.

Katanyanya, pandemik Covid-19 merupakan satu perkara serius, luar biasa dan ia perlu diberikan perhatian.

“Kita sedang berhadapan dengan pandemik yang sangat serius, luar biasa dan saya mengharapkan semua pihak harus bijaksana dalam kita menyuarakan pandangan dan buah fikiran itu supaya ia dapat membantu kita menyelesaikan masalah yang sangat besar ini,” katanya pada sidang media sempena Program Kesihatan Mental secara hibrid hari ini.

Saifuddin berkata demikian menjawab soalan wartawan berhubung Kempen Kerajaan Gagal di laman sosial oleh gerakan tertentu serta desakan sesetengah parti politik yang menggesa kerajaan hari ini berundur.

Menurut Saifuddin lagi, adalah sangat penting untuk melihat kepada fakta dan sains kerana pandemik yang melanda dunia tidak mudah untuk ditangani .

“Maksud saya boleh saja bercakap apa sahaja tetapi biarlah bergantung kepada fakta dan sains dengan matlamat untuk memperbaiki keadaan.

“Saya mungkin seorang ahli politik yang petah berbicara dan saya boleh berbicara dengan panjang lebar. tetapi, akhirnya rakyat akan menilai adakah yang saya bicarakan itu boleh membantu menyelesaikan masalah atau tidak,” ujarnya. – MalaysiaGazette