Datuk Saifuddin Abdullah Undi 18 GE15 General Election voters vote
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau penularan video berkaitan bunuh diri di laman sosial.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, KKMM memandang serius perkara itu bagi mengelak gejala “peniruan bunuh diri” (copycat suicides) berlaku dalam kalangan masyarakat.

“Kita pandang serius mereka yang menular video berkaitan bunuh diri ini sebab kita bimbang berlakunya gejala yang dipanggil copycat suicide dan kita di KKMM pantau perkara ini.

“Kita percaya polis juga memantau…secara lazimnya kami akan beritahu kepada pihak polis dan minta perkara itu diturunkan (video dipadamkan),” katanya pada sidang media secara hibrid hari ini.

Sementara itu, Pengerusi SKMM, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek menjelaskan, pihaknya akan bertindak melakukan empat perkara jika mendapati sesuatu paparan dilaman sosial menjurus kepada perbuatan bunuh diri.

Katanya, perkara tersebut sudah semestinya akan dilapor kepada polis untuk tindakan dan pengendali laman sosial tersebut akan dipanggil jika ia didapati disebarkan di Malaysia selain berkenaan turut dipadam.

Langkah seterusnya kata beliau, KKMM akan melapor kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar menyediakan pasukan respon teknikal bagi mengatasi masalah tersebut.

Terdahulu, Saifuddin mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelan Komunikasi Sokongan Kesihatan Mental bagi membincangkan perkembangan semasa pelaksanaan inisiatif sokongan kesihatan mental.

Pasukan yang ditubuh daripada pelbagai agensi dan kementerian itu bertujuan untuk membantu menyelesaikan tekanan yang dihadapi masyarakat ketika negara masih lagi berdepan pandemik Covid-19 ketika ini. – MalaysiaGazette