Logo Lembaga Minyak Sawit Malaysia

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengarahkan kilang kelapa sawit di Ulu Keratong yang menyebabkan pencemaran sungai memberhentikan operasi serta merta.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir berkata, arahan memberhentikan operasi dikeluarkan selaras dengan notis arahan di bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Rompin.

“Kilang tersebut diarah memberhentikan operasi mengilang buah kelapa sawit serta merta sehingga notis arahan ditarik balik oleh Jabatan Alam Sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan media pada Jumaat lalu melaporkan JAS telah mengambil tindakan terhadap sebuah kilang kelapa sawit setelah pemeriksaan jabatan itu dan Pengurusan Air Pahang Berhad mendapati kilang berkenaan menjadi punca pencemaran air Sungai Pukin.

Menurut laporan, kejadian itu berpunca dari tebing salah satu kolam rawatan sisa sawit yang runtuh sehingga menyebabkan sisa tersebut mengalir ke alur sungai.

Dr. Ahmad Parveez berkata, kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh menyebabkan lesen syarikat berkenaan digantung, dibatal atau tidak diperbaharui di bawah Peraturan 15(1), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005.

“MPOB menggesa semua kilang kelapa sawit supaya pada setiap masa mematuhi peraturan MPOB dan peraturan Jabatan Alam Sekitar mengenai penjagaan alam sekitar khususnya semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” ujarnya.

Katanya, MPOB sentiasa berkerjasama dengan JAS bagi membendung pencemaran alam sekitar termasuk pencemaran sungai oleh aktiviti pengilangan sawit.

Malah kata, Ahmad Parveez, pihaknya sentiasa memantau dan melakukan pemeriksaan secara berkala ke atas kilang-kilang kelapa sawit bagi memastikan pematuhan sistem pengolahan efluen dan had pelepasan yang ditetapkan.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh dikemukakan melalui e-mel, [email protected] atau di talian 03 8769 4400. – MalaysiaGazette