MIT

KUALA LUMPUR – Pendaftaran Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi sektor pembuatan yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan dipercepatkan dengan pelaksanaan pendaftaran secara atas talian di http://pikas.miti.gov.my.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, PIKAS telah mendapat sambutan yang amat tinggi dan telah membantu menyokong mempercepatkan kadar vaksinasi rakyat Malaysia.

Menurutnya, MITI menyarankan kepada syarikat-syarikat yang menghantar maklumat mereka melalui emel sebelum ini untuk memasukkan maklumat syarikat mereka di sistem atas talian PIKAS supaya maklumat tersebut lengkap bagi tujuan penyelarasan dan pemprosesan.

Setakat 14 Julai 2021, sebanyak 10,522 syarikat yang melibatkan 903,244 orang pekerja di seluruh negara telah mendaftar di dalam PIKAS.

Daripada jumlah ini 101,117 telah menerima dos pertama vaksinasi.

Setakat 14 Julai 2021 juga, sebanyak 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS telah memulakan operasi di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu. MITI dengan kerjasama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang melipatgandakan usaha untuk menambah bilangan PPV PIKAS sedia ada bagi meningkatkan pemberian vaksin di kalangan tenaga kerja dalam sektor pembuatan di Malaysia.

Bagi syarikat-syarikat sektor pembuatan yang berminat untuk menyertai PIKAS, sila layari www.miti.gov.my atau hubungi talian hotline PIKAS di 03-62071193, 03-62071194, 03-62071195 atau 03-62071196.

Sebarang pertanyaan berkenaan PIKAS juga boleh diemelkan ke [email protected].

PIKAS yang dilancarkan pada 16 Jun 2021 merupakan sebuah kolaborasi strategik seumpamanya di antara pihak awam dan swasta yang berfokus untuk
mempercepatkan vaksinasi di kalangan pekerja di dalam sektor pembuatan.

Program ini mampu mewujudkan persekitaran pekerjaan yang selamat dan kondusif untuk pekerja di dalam sektor pembuatan. Melalui PIKAS, Kerajaan akan
menyediakan vaksin secara percuma manakala pihak swasta akan membiayai dan menguruskan PPV, sekaligus mengurangkan kos pentadbiran pemberian vaksin yang perlu ditanggung kerajaan. – MalaysiaGazette