AJK Persatuan Penduduk Desa Rejang, Affa Syaripuddin menunjukkan lif yang mengalami masalah kerosakan di semua blok di PPR Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Hampir dua tahun berhadapan dengan masalah lif rosak, penduduk Perumahan Awam Desa Rejang hari ini menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah campur tangan untuk menangani masalah itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam itu Mohd Noor Md Tahir berkata, penduduk di perumahan awam yang mempunyai 12 buah blok itu sudah tidak tahan berdepan dengan masalah lif rosak.

Katanya, dengan hanya satu lif sahaja beroperasi di setiap blok, sudah tentu berlaku kesesakan setiap hari kerana lif itu perlu menampung hampir 900 hingga 1,000 orang yang turun dan naik.

Kebimbangannya, apabila berlaku kesesakan berlaku di dalam lif,  sudah tentu akan meningkatkan lagi risiko penularan Covid-19.

Malah, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tidak dapat dipatuhi.

“Lif juga salah satu akibat penularan Covid di Desa Rejang, ini bukan omong kosong.

“Sekarang satu lif sahaja yang boleh guna untuk satu blok, sedangkan setiap blok ada tiga lif.

“Perlu diingat penduduk di sini ada antaranya warga emas, ibu mengandung, Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Rejang, Mohd Noor Md Tahir bercakap kepada media mengenai masalah kerosakan lif di semua blok di PPR Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 JULAI 2021.

Mohd Noor mendakwa, lebih RM300,000 peruntukan untuk membaiki lif yang rosak  telah diluluskan oleh Datuk Bandar ketika pertemuan dengan penduduk pada 10 Jun lalu.

Namun, sehingga kini kerja membaik pulih belum bermula.

Mengulas lanjut beliau berkata, penduduk Perumahan Awam Desa Rejang itu bukan sahaja berhadapan dengan kerosakan lif, tapi dalam masa yang sama isu infrastruktur dan pengurusan sampah juga membelenggu mereka.

“Perkara ini berlaku sekian lama. Kita pernah hantar surat kepada Menteri Wiayah Persekutuan, saya sendiri beri taklimat bukan sekadar isu lif  tapi isu sampah, prasarana dan sebagainya.

”Saya berdiri untuk penduduk bukan untuk diri sendiri. Tolonglah pihak atasan bantulah kami,” tambahnya lagi.

Sebahagian penduduk bergambar sambil menunjukkan kenyataan mengenai masalah kerosakan lif di semua blok di PPR Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 JULAI 2021.

Difahamkan perumahan awam yang mempunyai 12 blok itu didiami oleh 12,000 orang penduduk.

Setiap blok mempunyai 900 hingga 1,000 orang penduduk.

Tidak menolak kerja pembaikan lif mungkin terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kata Mohd Noor, penduduk di situ kini semakin terdesak dan memerlukan perhatian agar masalah ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

Untuk rekod,  Perumahan Awam Desa Rejang pernah dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) baru-baru ini bagi membendung penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette