Suasana penamatan PKPD Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam disambut penduduk meriah dengan sorakan dan bunga api sebagai merakamkan penghargaan kepada para petugas anggota keselamatan barisan hadapan anggota keselamatan yang melaksanakan kawalan keselamatan sejak 1 Julai lalu.

KUALA LUMPUR – Sorakan dan nyanyian lagu Allah Selamatkan Kamu dan bunga api mengiringi penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan perumahan Taman Bukit Angkasa di Pantai Dalam malam ini.

Tempoh PKPD berkuatkuasa sejak 1 Julai lalu di kawasan itu tamat pukul 11.59 malam.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata penduduk bersorak beramai-ramai mengucapkan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan dan anggota keselamatan.

Mereka bersorak kegembiraan sejak pukul 8.30 malam lagi dan tidak melepaskan peluang mengambil foto dengan petugas keselamatan yang membuka kawat duri yang dipasang sepanjang 300 meter di tepi jalan di kawasan perumahan berkenaan.

Wakil petugas barisan hadapan dan anggota keselamatan yang bertugas juga merakamkan setinggi penghargaan kepada penduduk atas kerjasama kepada mereka sepanjang 14 hari lalu.

Wakil berkenan meminta supaya penduduk terus mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana mereka masih tertakluk kepada peraturan fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

“Saya mohon kerjasama semua sekiranya sepanjang kami melaksanakan tugas keselanmatan PKPD di sini terkesan ada kelemahan saya mohon diampunkan.

“Saya doakan yang susah disenangkan yang tak senang ditenangkan, yang sakit disembuhkan dan segala doa anda dimakbulkan Allah.

“Saya sudah melalui pelaksanaan lapan PKPD dan lapan kali keluarga saya duduk dalam zon PKPD.

“Sepanjang 14 hari lalu PKPD di sini, seramai 388 orang dicalit dan 219 daripadanya positif Covid-19 serta merekodkan 11 kematian. Saya berharap anda terus kekalkan patuh SOP secara komited dan harap anda semua panjang umur,” katanya.

Menurutnya, sudah masanya pasukan keselamatan yang berkhidmat di kawasan itu untuk berundur setelah misi dilaksanakan dan mereka menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu beramai-ramai sebelum bersurai ke kediaman masing-masing.

Manakala suasana di PPR Pantai Ria pula berkeadaan sebaliknya apabila suasanan sunyi tanpa sebarang reaksi kegembiraan dari penduduk menjelang penamatan PKPD.

Trak-trak tentera dan anggota keselamatan polis mula muncul sekitar 11.32 malam untuk membawa kawat duri yang dibuka di kawasan berkenaan.-MalaysiaGazette