Tiga individu dikesan bagi membantu siasatan dalam kes penipuan urusan jual beli kereta mewah melibatkan kerugian berjumlah RM60,000.

KUALA LUMPUR – Polis giat memburu tiga individu bagi membantu siasatan kes penipuan urusan jual beli kereta mewah membabitkan jumlah kerugian RM60,000.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketiga-tiga individu berkenaan dikehendaki oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sentul.

Katanya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Individu pertama bernama Rosli Mahat beralamat di No 6 Jalan BA 1/1 Laman Oakleaf Bukit Antarabangsa Ampang, Selangor, disusuli individu kedua bernama Choy Chee Leong beralamat di No 48 Jalan Dayang 25/8 Seksyen 8 Bandar Mahkota,Batu 9 Cheras.

“Individu ketiga yang dicari adalah lelaki bernama Chew Kun Guan beralamat di No 8-1 Jalan Prima 6 Pusat Niaga Metro Prima Kepong,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Polis memohon mana-mana individu atau orang ramai yang mempunyai maklumat ketiga-tiga individu terlibat supaya berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Amirul Asyafi Abdullah di talian 010-9181927 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette