Polis mengiringi Datuk Seri (tengah), anak (depan) dan seorang lagi kakitangan syarikat ke Mahkamah Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU –  Seorang lelaki bergelar Datuk Seri direman empat hari bagi membantu siasatan kes pecah amanah berjumlah RM304 juta membabitkan pelaburan NAR Trading.

Selain suspek, anak lelakinya serta seorang lagi lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai terlibat sama dalam kes tersebut turut direman.

Datuk Seri berkenaan berusia 52 tahun manakala anaknya, 26 tahun.

Majistret Mahkamah Balik Pulau, Khalijah Mohd Khalid membenarkan kesemua suspek itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Terdahulu ketiga-tiga suspek itu ditahan sepasukan polis di sekitar George Town pada jam 4.40 petang semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.

MalaysiaGazette difahamkan pengarah syarikat itu membuat laporan terhadap tiga lelaki yang merupakan kakitangan syarikat susulan mereka yang diamanah mengagihkan hibah kepada pelabur NAR Trading, gagal berbuat demikian.

Mereka dipercayai menggunakan wang tersebut untuk kegunaan sendiri dan hanya mengagihkan hibah kepada beberapa pelabur sahaja.

Ketiga-tiga suspek direman bagi membantu siasatan pecah amanah berjumlah RM304 juta.

Datuk Seri serta dua lagi individu berkenaan dikatakan melakukan kegiatan pecah amanah sejak tahun 2018 hingga Januari lalu.

MalaysiaGazette pada 23 Mei lalu melaporkan sindiket pelaburan dikenali sebagai NAR Trading sudah menjerat 47 mangsa di Pulau Pinang dengan kerugian mencecah RM12.7 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, kesemua 47 laporan itu diterima pihaknya sejak awal Januari hingga 17 Mei lalu.

Mohd Rosni.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati sindiket menawarkan keuntungan dalam bentuk hibah sebanyak 10 peratus kepada pelabur yang membeli saham pelaburan forex, perhotelan serta perniagaan kafe mereka.

Rata-rata mereka yang ditipu sindiket berusia lingkungan 20 hingga 70 tahun dan kadar minimum setiap pelaburan berjumlah RM10,000. – MalaysiaGazette