Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bimbang penularan gambar dan video kanak-kanak perempuan sindrom down bernama Bella yang disebarkan secara meluas dalam talian selepas kes penderaannya didedahkan.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Professor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, media dan masyarakat umum diingatkan tindakan itu menyalahi Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) untuk berkongsi secara umum gambar-gambar dan video-video yang menunjukkan identiti mangsa kanak-kanak.

Hal ini juga selaras dengan Perkara 37(a) Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) yang telah diratifikasi Malaysia pada tahun 1995, yang mana ia jelas menyatakan “Tidak ada kanak-kanak boleh tertakluk kepada layanan yang menjatuhkan maruah”.

Oleh itu, beliau memohon masyarakat umum untuk tidak lagi menyebarkan identiti mangsa kanak-kanak kerana maruah kanak-kanak hendaklah dijaga dan
dipelihara sebaiknya.

Berdasarkan Perkara 23 CRC, beliau menggesa kerajaan memastikan kanak-kanak kurang upaya adalah bukan sahaja berhak kepada perlindungan dan bantuan oleh negara, tetapi mestilah dibenarkan untuk terlibat secara menyeluruh dalam masyarakat.

Kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk menyatakan pandangan mereka, terlibat dalam membuat keputusan yang memberi kesan kepada mereka, menerima pendidikan yang inklusif, dan dilindungi daripada keganasan dan penderaan seperti orang lain.

Suhakam berharap kes seperti ini tidak dibenarkan berulang lagi di masa hadapan dan maruah serta kesejahteraan setiap kanak-kanak hendaklah dijaga secara aktif dalam apa jua keadaan. – MalaysiaGazette