Orang awam mula mengunjungi kedai telekomunikasi selepas kerajaan membenarkan beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kedai komputer dan alat telekomunikasi serta kedai buku menjadi tumpuan orang ramai hari ini berikutan keputusan kerajaan membenarkan premis berkenaan beroperasi semula.

Tinjauan MalaysiaGazette di sebuah gedung terkemuka yang menjual pelbagai alat telekomunikasi di ibu negara mendapati pelanggan mula menyerbu premis-premis tersebut sebaik sahaja ia dibuka bagi mendapatkan kelengkapan berkaitan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) serta membaik pulih peranti.

Orang awam mula mengunjungi kedai telekomunikasi selepas kerajaan membenarkan beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 JULAI 2021.

Bagaimanapun kira-kira 50 peratus sahaja kedai komputer dan alat telekomunikasi di gedung itu yang dilihat mula menjalankan operasi pada hari ini manakala selebihnya masih ditutup kepada pelanggan.

Beberapa pekerja am juga dilihat kerap kali menjalankan proses pembersihan dan sanitasi di keseluruhan gedung tersebut manakala pelanggan yang hadir pula dipantau rapi daripada segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menurut seorang suri rumah, Fariza Anuar, 37, dia berasa lega apabila mendapat makluman mengenai pembukaan semula kedai komputer dan kedai buku kerana benar-benar memerlukan beberapa kelengkapan untuk PdPR.

Pengunjung, Fariza Anuar bercakap selepas kerajaan membenarkan kedai telekomunikasi beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 JULAI 2021.

“Hari ini saya datang untuk membeli pengecas komputer riba yang telah lama rosak, jadi pembukaan semula sektor ini amat melegakan para ibu bapa di luar sana terutamanya mereka yang perlu menyediakan anak-anak untuk kelas secara dalam talian.

“Sebelum ini agak buntu memikirkan di mana mahu beli alat ganti dan sebagainya tapi bila kedai-kedai dah boleh buka semula memang bagus untuk kesenangan semua pihak,” kata ibu kepada dua anak itu ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Pengunjung, Muhammad Aliem Abd Razak bercakap selepas kerajaan membenarkan kedai telekomunikasi beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 JULAI 2021.

Manakala bagi seorang pelatih industri, Muhammad Aliem Abd Razak, 21, memberitahu, dia lebih memilih untuk membeli alatan kelengkapan mahupun gajet dengan mengunjungi kedai-kedai fizikal berbanding secara atas talian.

Jelas Muhammad Aliem, ia berikutan banyak kes-kes penipuan pembelian secara atas talian yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Saya sendiri kurang percaya untuk beli secara online kerana risau ditipu atau barang yang di pesan mungkin rosak, jadi memang tertunggu-tunggu kedai-kedai ini dibuka semula supaya lebih senang memilih dan membeli alatan yang diperlukan,” katanya.

Pengunjung, Muhammad Asymawi Ramli bercakap selepas kerajaan membenarkan kedai telekomunikasi beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 JULAI 2021.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Muhammad Asymawi Ramli, 28, berkata, kebenaran beroperasi semula yang dibenarkan oleh kerajaan memberi kelegaan terutamanya buat pekerja atau pun ibu bapa yang perlu membuat persiapan PdPR untuk anak-anak.

Menurut Muhammad Asymawi, sudah pasti orang ramai ternanti-nanti pembukaan semula sektor tersebut selepas mereka menerima pelbagai bentuk bantuan kewangan sebelum ini.

“Kedai alat telekomunikasi dan kedai buku ini amat penting sebenarnya, sebagai contoh mungkin ada ibu bapa yang dah terima mana-mana bantuan jadi mereka mahu beli tablet untuk beri kepada anak-anak.

“Lagi satu tidak semua orang mampu beli printer untuk kegunaan di rumah jadi mereka perlu pergi ke kedai buku untuk dapatkan servis tersebut,” ujarnya.

Pemilik Print@Pustaka ABS Bandar Sri Permaisuri, Azman Awang bercakap selepas kerajaan membenarkan kedai peralatan buku dan alat tulis beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 JULAI 2021.

Dalam pada itu, pemilik Print@Pustaka ABS Bandar Sri Permaisuri, Azman Awang berkata, kedainya mula diserbu pelanggan sebaik sahaja memulakan operasi pada pukul 9 pagi tadi.

Tambah Azman, kebanyakan pelanggan yang hadir adalah untuk membeli kelengakapan alat tulis.

“Selepas dengar pemakluman mengenai kebenaran untuk beroperasi semula, saya memang sangat lega selepas lebih sebulan setengah menutup perniagaan.

“Pagi tadi pun pelanggan memang tidak henti-henti keluar masuk untuk beli barang kelengkapan terutamanya untuk PdPR,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua kedai komputer dan telekomunikasi serta kedai buku dan alat tulis dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

Beliau berkata, kebenaran operasi itu diputuskan melalui sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas mengambil kira maklum balas pelajar, ibu bapa serta tenaga pengajar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast