KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (PPN) digantikan dengan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang akan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia bagi memastikan pelaksanaan PPN berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19
secara holistik, kata Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Ia diputuskan dalam mesyuarat kedua jawatankuasa Khas Kabinet PPN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Mesyuarat juga telah memutuskan PPN akan dibentangkan di Parlimen pada 26 Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, berteraskan pendekatan whole of nation, MPN akan melantik wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman dan nasihat di dalam pelbagai aspek PPN bagi
membolehkan Malaysia keluar dari pandemik ini secara sistematik dan selamat.
Mesyuarat yang sama hari ini juga telah memutuskan perkara-perkara yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat seperti menambahbaik SOP berdasarkan maklumbalas dari antara lainnya subject matter experts selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan kejelasan SOP dan tahap kepatuhan.
Ia juga memperkenalkan beberapa kelonggaran kepada rakyat yang telah mendapat dua dos vaksin dan mempertimbangkan kelonggaran bagi syarikat-syarikat yang telah memberi
vaksinasi penuh kepada pekerjanya untuk beroperasi sepenuhnya.
MPN juga akan membuat pertimbangan dan mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan peralihan dari satu fasa ke fasa berikutnya dapat dicapai secepat mungkin berdasarkan pencapaian nilai-nilai ambang utama yang telah ditetapkan, katanya.
“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan mengukuhkan strategi bagi mengawal wabak Covid-19 secara holistik dengan memberi fokus kepada faktor-faktor seperti kadar aktiviti pergerakan; kadar dan tempoh kebolehjangkitan; populasi berisiko dan pengukuhan kapasiti sistem kesihatan awam,” katanya.- MalaysiaGazette