Petugas menggunakan vaksin jenis Sinovac untuk diberikan kepada warga emas di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 JUN 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi membetulkan tanggapan salah orang ramai terutama rakyat Kelantan berhubung laporan kononnya kerajaan negeri itu menolak vaksin jenis Sinovac.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, apa yang berlaku ialah kerajaan negeri tidak menolak vaksin itu, tetapi dalam konteks Malaysia, penerimaan terakhir bekalan Sinovac sebanyak 12 juta dos berakhir bulan ini.

Kata beliau, mengikut jumlah pembelian vaksin yang ditetapkan kerajaan Malaysia, Pfizer sebanyak 70 peratus, Sinovac 18.75 peratus, AstraZeneca 20 peratus, dan bakinya untuk vaksin jenis Cansino serta Johnson and Johnson.

“Betullah selepas ini, bukan sahaja Kelantan, bahkan semua negeri pun tidak lagi menerima bekalan vaksin Sinovac untuk dos pertama kerana selepas akhir Julai ini kerajaan Malaysia tidak lagi menerima bekalan itu.

“Yang kita terima selepas ini, iaitu bermula Ogos ialah vaksin jenis Pfizer, baki 20 juta Sinovac untuk diberikan kepada penerima dos kedua, AstraZeneca, Cansino dan Johnson and Johnson.

“Saya harap penjelasan ini menamatkan dakwaan kononnya Kelantan menolak vaksin Sinovac dan hanya akan menggunakan vaksin Pfizer untuk dos pertama dan kedua kepada rakyatnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di Kota Bharu semalam, media melaporkan, Jabatan Kesihatan Kelantan akan menamatkan pengagihan vaksin Sinovac pada akhir bulan ini dengan menggantikannya vaksin Pfizer di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri itu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin dilaporkan berkata, serentak itu semua PPV hanya akan dibekal dengan dos kedua vaksin Sinovac mulai 18 Julai ini.

“Bekalan vaksin Sinovac kepada Kelantan akan ditamatkan pada akhir Julai dan akan digantikan dengan vaksin Pfizer. Oleh itu, tiada lagi bekalan Sinovac untuk dos pertama mulai tarikh berkenaan,” katanya menerusi notis pemberitahuan bertarikh 13 Julai.

Menurut Ahmad Amzad, kebanyakan daripada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) peringkat negeri-negeri, sediakan simpanan Sinovac untuk suntikan dos kedua.

Beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa Sinovac tidak bagus atau sebagainya.

Katanya, semua vaksin yang dipilih kerajaan Malaysia mempunyai kadar keberkesanan yang bagus. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast