GEORGE TOWN –  Sebanyak 208 masjid di negeri ini diberi peruntukan berjumlah RM1,000  sebagai inisiatif bantuan dalam tempoh Fasa Dua Kawalan Pergerakan dana Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, sumbangan yang diterima menerusi Zakat Pulau Pinang (ZPP) itu akan disalurkan kepada tabung masjid selewat-lewatnya pada minggu depan.

Ahmad Zakiyuddin.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata, langkah itu diambil untuk membantu pihak pengurusan masjid membiayai beberapa keperluan termasuk bil utiliti, pembersihan atau sanitasi.

“Kita menyedari situasi sukar pada hari ini yang memberi kesan kepada tabung masjid berikutan jumlah kehadiran jemaah yang dihadkan,” katanya pada sidang media secara online hari ini. 

Dalam perkembangan lanjut Ahmad Zakiyuddin berkata, ZPP meluluskan sumbangan sebanyak RM300,000 kepada rakyat Palestin dan sebanyak RM38,000 bagi masyarakat Islam di Thailand, Laos, Philipina dan Rohingya di Malaysia di bawah Tabung Bantuan Kemanusiaan Zakat Pulau Pinang.

“Sumbangan dibuat kepada sembilan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang aktif menjalankan misi amal berkenaan.

“NGO terbabit dikehendaki menghantar laporan penuh aktiviti dalam tempoh sebulan dari tarikh penerimaan sumbangan,” kata beliau. – MalaysiaGazette