Ahli Parlimen Subang, Wong Chen

KUALA LUMPUR – PKR mengesahkan beberapa Ahli Parlimennya ada berjumpa dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menurut Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, beliau diminta untuk berjumpa dengan Tengku Zafrul di Kementerian Kewangan untuk membincangkan pandangan parti itu terhadap Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya diarahkan untuk membentangkan pandangan dan polisi PKR serta berkongsi pendapat dengan Menteri Kewangan. Perbincangan berjalan secara jujur dan menarik,” katanya di Twitter.

Turut hadir adalah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shahsul Iskandar Akin dan Pengarah Komunikasi dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Perjumpaan itu diadakan pada Rabu lalu dengan dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah (Ahli Parlimen Paya Besar) dan enam pegawai kanan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat perbentangan dengan menggariskan beberapa isu dan polisi yang mencerminkan keprihatinan PKR mengenai masalah pemulihan negara.

“Pandangan adalah berkaitan sumber-sumber dari rakan-rakan Ahli Parlimen PKR yang lain semasa perjumpaan mingguan kami.

“Namun, saya rasa ia lebih kepada pandangan Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chai kerana beliau banyak memberikan panduan yang baik kepada PKR mengenai dasar kesihatan awam,” katanya lagi.

Wong Chen berkata PKR menggariskan tiga perkara untuk pertimbangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu kerajaan harus berpandukan kepada sains perubatan dan data-data Covid-19, kerajaan harus bersifat adil kepada semua lapisan masyarakat dan kumpulan, kerajaan harus telus dan berakauntabiliti untuk polisi Covid-19 dan perbelanjaan bagi menganinya.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Zafrul pada Isnin lalu.

Pertemuan selama sejam itu berlangsung di rumah Mahathir.

Mahathir berkata, Tengku Zafrul bertemu dengannya untuk mendapatkan pandangan mengenai cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dicadangkan oleh Parti Pejuang Tanahair (Pejuang). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Klu tg.zarul nk belajar berniaga elok g jumpa lge, bljr cara nk jual murah² harta negara

Comments are closed.