Seramai 172 petugas barisan hadapan wanita yang mengandung didapati positif Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 172 petugas barisan hadapan wanita yang mengandung didapati positif Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengesahkan perkara itu dan daripada jumlah itu kebanyakan mereka dijangkiti dalam kategori satu dan dua.

“Kategori satu sebanyak 51 orang, kategori dua 117 orang, kategori lima ada lima orang yang telah dijangkiti Covid-19.

“Untuk kategori lima mereka yang telah menerima satu dos vaksin adalah satu kes, mereka yang tidak divakinasi selepas 24 Februari tiga orang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama-sama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin hari ini.

Daripada jumlah itu, Dr. Adham menegaskan, tiada petugas barisan hadapan wanita mengandung yang dikategorikan dalam kategori tiga dan empat.

Jelasnya lagi, vaksin yang diberikan kepada mereka ternyata dapat melindungi mereka daripada kesan yang teruk.

Dalam pada itu, Dr. Adham berkata, sejumlah 584 varian yang membimbangkan (VOC) telah direkodkan pada 3 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, sejumlah 40 VOC daripada varian Delta direkodkan di negara ini.

“Pada 3 Julai terdapat keseluruhan 584 jumlah VOC dan Non VOC yang telah direkodkan daripada 584 yang dapat dikesan, 10 varian Alpha, 138 varian Beta, 40 varian Delta, 4 VOC Kappa dan 2 Eta. 392 adalah bukan VOC telah dikesan,” katanya lagi.

Dr. Adham berkata, sejumlah 870 kluster jangkitan Covid-19 masih aktif sehingga minggu Epid ke-27 yang berakhir 10 Julai lalu.

Beliau berkata secara kumulatif sehingga tarikh itu, keseluruhan 3,058 kluster dicatatkan dengan jumlah kumulatif kes jangkitan dicatatkan 827,191 kes dengan 84,021 kes masih aktif.

Jumlah kematian pula keseluruhannya 6,067 kes, dengan 959 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU), 451 (47.0%) kes di ICU dengan bantuan mesin ventilator. – MalaysiaGazette