Foto Instagram Siti Sarah.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Siti Sarah memberi tempoh 48 jam kepada seorang wanita yang didakwa menipu pelanggannya untuk memohon maaf secara terbuka sekiranya individu terbabit tidak mahu dikenakan tindakan lebih tegas.

Kata Siti Sarah, laporan polis turut dibuat ke atas wanita berusia dalam lingkungan 30-an semalam.

Katanya, helah wanita itu terbongkar selepas beberapa orang mangsa mengadu perkara itu melalui Direct Message (DM) di Instagram jenama produknya serta memaklumkan mereka masih tidak menerima barang yang ditempah.

“Kami beri dia tempoh 48 jam untuk tampil dan menghubungi kami. Permohonan maaf itu hendaklah dibuat secara terbuka, selain dia perlu menyelesaikan segala masalah yang ditimbulkannya sendiri.

“Sekiranya gagal bertindak demikian, kami tidak teragak-agak untuk teruskan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Siti Sarah mendakwa, ‘scammer’ terbabit sudah menjalankan penipuan dalam talian menggunakan nama syarikat miliknya itu sejak dua bulan lalu selepas mendaftar sebagai ejen dropship mereka.

“Pada awal masalah timbul, kami cuma anggap ia mungkin disebabkan dia terlupa atau mudah keliru kerana dia masih baru.

“Tapi bila empat individu menghantar DM dengan memaklumkan mereka tidak menerima produk yang ditempah sejak bulan puasa lalu, kami segera jalankan siasatan sendiri.

“Bila diperiksa, memang scammer terbabit tidak membuat sebarang tempahan kepada syarikat kami, malahan dia memberikan pelbagai alasan kepada pelanggan seperti produk perlu ditempah terlebih dulu padahal stok memang tersedia ada,” katanya.

Siti Sarah berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai pemasarannya, Rizam Mahyuzam Morsit, 42, semalam di Ibu Pejabat Polis Mutiara Damansara kira-kira jam 6.30 petang.

Siti Sarah akui turut terkilan apabila hasratnya untuk membantu golongan terjejas pendapatan ketika penularan Covid-19 disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sambil menahan sebak, Siti Sarah berkata, atas dasar itulah dia mengambil ambil inisiatif untuk membantu mereka yang ingin mengubah kehidupan dengan menjana pendapatan tanpa modal.

“Setiap hari saya menerima DM daripada mereka yang alami kesusahan pada saat sukar ini. Saya tak boleh tak bantu. Jika boleh, memang semuanya saya benar-benar nak bantu.

“Saya rasa cukup terkilan sebab ada individu seperti wanita ini yang sanggup menggunakan platform saya sebagai tempat untuk menipu.

“Lebih mengecewakan, tindakan wanita terbabit menjatuhkan fitnah pada syarikat saya dan imej saya sebagai selebriti turut tercalar,” katanya.

Pada masa sama, Siti Sarah berkata, dia bersyukur dugaan didepaninya itu tidak menjejaskan kesihatan mahupun kandungannya yang kini memasuki usia tujuh bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast