Antara 20 orang yang berhimpun di Padang Dataran Merdeka hari ini.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 20 individu dikesan berhimpun di Padang Dataran Merdeka hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan yang didakwa gagal menangani pandemik Covid-19.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerusi kenyataan berkata, kumpulan itu diketuai oleh Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang merupakan gabungan parti politik iaitu Parti MUDA, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR.

Difahamkan, kumpulan itu berhimpun sekitar pukul 2.30 petang dengan membawa bendera hitam dan pemidang bertulis ‘Kita Mati Dalam Derhaka #Keluar dan Lawan sambil membawa patung menyerupai jenazah yang dikafan.

Bagaimanapun, pasukan polis IPD Dang Wangi pada 3 petang mengarahkan kumpulan berkenaan bersurai dan beredar dari kawasan tersebut.

“Pada pukul 3.10 petang, kumpulan itu telah bersurai dan beredar sepenuhnya dari Padang Dataran Merdeka. Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” kata kenyataan yang sama hari ini.

Siasatan awal mengenal pasti tiga individu merupakan penganjur himpunan tersebut.

Semua yang  terlibat akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dikompaun atas kesalahan perlanggaran Peraturan-Peraturan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu Larangan Berhimpun.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, kerana berhimpun tanpa notis.-MalaysiaGazette