Petugas Kesihatan mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2021.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan inisiatif Pengurusan Jenazah COVID-19 Berpusat bagi membolehkan masa mengurus jenazah disingkatkan sebaik mungkin bagi mengurangkan kesesakan di ruang simpanan jenazah di beberapa hospital di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan akan melibatkan urusan jenazah di tiga hospital bagi semua agama iaitu Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Katanya Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Pelabuhan Klang dipilih bagi pengebumian jenazah pesakit COVID-19 beragama Islam.

“Untuk yang bukan Islam, mangsa berkenaan akan dirujuk ke pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan pengebumian dan pengurusan krematorium yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini,

Amirudin berkata pihaknya juga turut berhubung dengan Kementerian Luar bagi menyelaraskan urusan (pengebumian) jenazah bukan warganegara.

Katanya inisiatif berkenaan susulan perbincangan pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Rabu lalu diikuti dengan agensi negeri serta PBT berhubung isu tersebut.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata pihaknya akan menyediakan bekalan bakul makanan kepada penduduk tidak lewat 48 jam selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di empat lokaliti di Selangor tengah malam ini.

Beliau berkata saringan COVID-19 akan dilakukan kepada semua penduduk dalam lingkungan PKPD terbabit di mana mereka  yang positif akan diasingkan bagi pemantauan serta rawatan bersesuaian manakala yang negatif akan divaksin oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Lokaliti PKPD berkenaan berkuat kuasa jam 12 tengah malam ini hingga 31 Julai ini ialah Damai Apartment, PJS 8, Mukim Damansara, Daerah Petaling; Jalan Pandan Indah, Mukim Ampang, Daerah Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, Mukim Klang, Daerah Klang dan Taman Samudera, Mukim Batu di Daerah Gombak.

— BERNAMA