ministers violating SOP
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,839 kenderaan yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran, termasuk untuk pulang ke kampung menyambut Aidiladha, diarah berpatah balik dua hari lepas.

Malah angka itu dianggap tertinggi sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan terpaksa tegas dalam memastikan tidak ada aktiviti merentas negeri khususnya menjelang sambutan Aidiladha pada Selasa ini bagi memastikan kes positif kluster komuniti dapat dibendung.

“PDRM melaporkan sebanyak 381,952 kenderaan telah diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.

“Untuk rekod, jumlah bilangan kenderaan diarahkan berpatah balik paling tinggi dicatatkan pada 16 Julai (Jumaat), iaitu sebanyak 4,839 sejak PPN dilaksanakan.

“Peningkatan kes serta kluster yang disebabkan pergerakan rentas negeri dan ziarah pada Aidilfitri lalu perlu dijadikan iktibar agar semua pihak tidak mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, orang ramai dinasihatkan untuk tidak curi-curi pulang ke kampung dan kekal duduk di rumah supaya tidak dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

“Larangan rentas negeri, begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan dalam suasana pandemik bukan bermakna kita tidak menyayangi ibu bapa dan keluarga yang berada di kampung halaman.

“Sebaliknya, ia adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi insan-insan yang dikasihi dan disayangi,” katanya. -MalaysiaGazette