ISLAMABAD – Anak perempuan kepada Duta Afghanistan ke Pakistan diculik di ibu negara, Islamabad untuk beberapa jam dan didera dengan teruk, kata para pegawai kedua-dua negara.

Kementerian Luar Afghanistan berkata, anak Najib Alikhai, Silsila Alikhail diculik oleh individu-individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada Jumaat lalu.

“Selepas dibebaskan oleh penculik, Alikhail kini berada di bawah penjagaan perubatan di hospital,” menurut kenyataan kementerian tersebut.

Afghanistan yang mengutuk ‘tindakan jahat’ itu melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan diplomat dari negara tersebut dan keluarga mereka serta kakitangan kedutaaan dan konsulatnya di Pakistan.

“Kementerian Luar menggesa kerajaan Pakistan mengambil tindakan wajar dengan segera bagi memastikan keselamatan Kedutaan Afghanistan dan Konsulat terjamin dan imuniti diplomat dan keluarga mereka terpelihara seperti menurut perjanjian dan komitmen antarabangsa,” menurut kenyataan itu

Afghanistan turut menggesa Pakistan mengenal pasti dan mendakwa dalang penculikan itu.

Kementerian Luar Pakistan yang mengesahkan insiden tersebut berkata, polis di Islamabad telah melancarkan siasatan selepas insiden itu dilaporkan.

“Kementerian Luar dan pihak berkuasa keselamatan berkaitan telah menghubungi duta itu dan keluraganya,” kata jurucakap Kementerian Luar Pakistan, Zahid Hafeez.

Kerajaan telah meningkatkan keselamatan untuk duta dan keluarganya itu dan agensi penguatkuasa undang-undang memburu dalang penculikan untuk d bawa ke muka pengadilan, tambah beliau.

Chaudhri berkata, keselamatan envoi asing termasuk diplomat dan keluarga mereka merupakan keutamaan pihaknya dan insiden seperti itu tidak akan dikompromi.

Hubungan antara Pakistan di jirannya itu kekal tegang dengan Kabul menuduh Islamabad membekalkan senjata serta menyokong kumpulan Taliban.

Pakistan menafikan dakwaan berkenaan. – MalaysiaGazette