PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua individu yang disyaki cuba menyamun seorang lelaki di sebuah stesen minyak di ibu negara di Taman Desa, di sini, pada 10 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menerima laporan dari mangsa kejadian pada jam 1.08 tengahari hari yang sama.

“Mangsa lelaki tempatan berusia 38 tahun semasa kejadian sekitar jam 12.50 tengahari sedang mengisi angin di tayar motosikal di lokasi didatangi dua suspek tidak dikenali menaiki dua motosikal nombor pendaftarannya tidak dikenali.

“Salah seorang suspek tanpa turun dari motosikal cuba meragut rantai leher pengadu tetapi tidak berjaya disebabkan suspek tertarik kolar baju mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas laporan mangsa, kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut dan pengadu tidak mengalami sebarang kerugian dan kecederaan.

Ujarnya, semakan dalam kamera liter tertutup (CCTV) di lokasi mendapati terdapat tiga buah motosikal yang dilihat berlegar-legar di sekitar kawasan stesen minyak berkenaan sebelum dua
daripadanya cuba meragut rantai leher mangsa.

Katanya,hasil risikan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menangkap dua lelaki berumur 25 tahun di sebuah kondominium di Jalan Midah 8 Kuala Lumpur pada jam 1.30 pagi tadi.

“Dalam serbuan ini, pihak polis telah merampas, tiga buah motosikal pelbagai jenis dan sebatang anak kunci, dua buah helmet jenis MS88, dua buah telefon bimbit pelbagai jenis beserta sim kad; sebuah beg galas jenama Quechua; dan pakaian, pelitup muka dan kasut yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah.

“Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah dan dadah berbahaya dan dalam proses reman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hari ini.

“Manakala seorang lagi disyaki rakan sejenayah kedua-dua suspek berkenaan yang masih bebas di luar sana sedang diburu polis untuk membantu kes tersebut,” ujarnya.

Anuar berkata, sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette