KOTA KINABALU – Dua puluh tiga buah rumah jenis tidak kekal yang dibina atas air di Kampung Tanjung Aru Baru di sini musnah dalam kebakaran awal hari ini.

Kebakaran pada pukul 4.32 pagi itu merupakan kejadian ketiga berlaku dalam tempoh singkat di kampung itu, yang mengakibatkan 33 rumah musnah pada 25 Mei lepas manakala 10 rumah lagi pada 6 Julai lepas.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran itu melalui talian Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999).

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digegaskan ke tempat kejadian sejauh tiga kilometer itu dengan dibantu anggota BBP Penampang. Bomba mengalami kesukaran ke lokasi kejadian disebabkan laluan jalan yang sempit,” menurut kenyataan itu.

Kebakaran itu turut memusnahkan lima kereta dan enam motosikal namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Operasi pemadaman tamat pada pukul 8.03 pagi manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat, menurut kenyataan itu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast